BTS Media

Tiada pengampunan untuk Najib, Bersih 2.0 merayu kepada Agong

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah melancarkan petisyen dalam talian yang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak memberikan pengampunan diraja kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dalam petisyen itu, Bersih 2.0 menyatakan bahawa Najib telah melakukan jenayah terhadap rakyat Malaysia dalam kapasiti rasminya sebagai perdana menteri dan mesti menjalani hukumannya sepenuhnya.

“Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia..

“Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini.

“Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapa pun pelakunya. Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa.

“Ampun Tuanku, bimbinglah patik-patik sekalian agar dapat mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang melawan rasuah dan salah guna kuasa,”kata petisyen itu.

Petisyen itu ditujukan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddidan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa berita ini disiarkan petisyen tersebut telah mendapat 38,438 tandatangan.

-BTS Media

Leave a Comment