BTS Media

Najib di HRC untuk rawatan pakar

JABATAN Penjara Malaysia hari ini berkata bekas perdana menteri Najib Razak telah dibawa ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan selepas diberitahu keadaan kesihatannya tidak memuaskan pada 12 September lalu.

“Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah akta tersebut serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), pihak jabatan penjara telah menghantar Najib ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan di sana,” katanya.

Menurutnya, pada 19 September lalu, HKL telah merujuk Najib ke HRC.

“Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” katanya.

“Sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, pihak jabatan penjara selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan.”

Pada 23 Ogos, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman bagi kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Beliau dilaporkan beberapa kali dibawa ke hospital sejak menjalani hukumannya bagi pemeriksaan dan rawatan berhubung tekanan darah yang dialaminya.

Baca lagi: https://www.msn.com/en-my/news/berita/najib-di-hospital-cheras-akan-kembali-ke-penjara-selepas-doktor-lepaskan/ar-AA123U2t?ocid=msedgntp&cvid=3aca13f47b634e6096c47ecefdcee9b7

Leave a Comment