GAMBAR ATAS: Facebook L’Eco di Barbagia.
Oleh Fetty Rara
PIHAK berkuasa di Pulau Sardinia, Itali terpaksa bertindak mengehadkan akses ke sebuah kawasan kolam semula jadi dan air terjun indah apabila mendapati terlalu ramai pelancong berkunjung ke situ hanya untuk “ber-selfie”.
Datuk bandar Ussassai yang terletak di bahagian barat Sardinia, Francesco Usai berkata kira-kira 300 pelancong sehari meredah laluan sempit untuk ke kolam kecil S’Ogliu Ermanu, lapor agensi berita Itali ANSA.
Kolam semula jadi berukuran hanya lebih kurang 4 X 4 meter dan terletak jauh ke dalam hutan itu tidak mampu menampung beban “anthropogenik” (aktiviti manusia yang memudaratkan alam sekitar) apabila beratus pelancong berendam di dalamnya.
Beliau berkata pihaknya tidak boleh membiarkan lokasi indah yang merupakan sebahagian daripada ekosistem sensitif itu dikunjungi oleh terlalu rami pelancong.
Menurut Fracesco, kebanyakan pengunjung sekadar berkunjung ke situ untuk hanya mengambil “selfie”, dan bukannya membantu menjana ekonomi tempatan walaupun dengan membeli secawan kopi.
-BTS Media