BTS Media

Larangan DBKL terhadap Kelab Komedi Crackhouse patut hanya setahun – Ahli Parlimen

ATAS: Gambar oleh BTS Media.

 

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengesyorkan senarai hitam setahun ke atas pemilik Kelab Komedi Crackhouse, namun ditolak oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Dalam satu kenyataan kepada media pada Sabtu (20 Ogos), Lim berkata sumber yang boleh dipercayai daripada pihak berkuasa tempatan memberitahunya bahawa larangan itu hanya untuk satu tahun.

“Mengenai kes pemilik Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel, saya dimaklumkan oleh sumber boleh dipercayai bahawa jawatankuasa pelesenan DBKL membuat syor untuk menyenaraihitamkan Rizal daripada mendaftar lesen di Kuala Lumpur selama setahun, berbanding senarai hitam seumur hidup yang diumumkan pada Rabu (17 Ogos) oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias.

Lim bertanya kepada Jalaluddin sama ada beliau membuat pengumuman itu atas kerelaan sendiri, dan bertentangan dengan saranan jawatankuasa pelesenan DBKL.

“Jika ya, apakah motifnya?” tanya beliau.

Menurut Lim, Timbalan Menteri bertanggungjawab perlu memberi pencerahan kepada orang ramai dengan menjelaskan peruntukan undang-undang mana yang memberi kuasa kepadanya untuk mengenakan hukuman seumur hidup, seperti yang menghalang Rizal daripada mendaftarkan mana-mana perniagaan di Kuala Lumpur, terutama berdasarkan fakta bahawa lesen hiburan diberikan kepada syarikat dan bukan individu.

Pada 17 Ogos, Jalaluddin berkata jawatankuasa pelesenan DBKL bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai.

Beliau berkata mereka memutus untuk menyenaraihitamkan pemilik kelab itu daripada mendaftar lesen perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup.

Keputusan itu dibuat untuk menetapkan duluan (precedent) mengenai perkara berkaitan dengan penghinaan dalam isu agama, dan bagi mengelak kejadian serupa berulang.

-BTS Media

Leave a Comment