BTS Media

Keputusan rayuan larangan merokok pada 23 November

Oleh Zainal AS Rashid

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 23 November untuk keputusannya terhadap rayuan oleh tujuh individu yang mahu membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan melarang merokok di semua restoran.

Hakim Yaacob Md Sam, yang mengetuai panel tiga anggota, berkata pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan isu yang dibangkitkan peguam dalam rayuan yang penting dan berkepentingan awam itu.

Dua hakim lain ialah hakim Mahkamah Rayuan M. Gunalan dan hakim Mahkamah Tinggi Lim Chong Fong, lapor The Star.

Ketujuh-tujuh individu yang menubuhkan Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Okt 2019.

Mereka menolak permohonan semakan kehakiman mereka dan mahu mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kementerian melarang merokok di kedai makan.

Tujuh individu itu ialah Mohd Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Mohd Laisani Dollah, 49, Mohd Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Muhammad Noor, 56, Mohd Yazid Mohd Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43.

Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili mereka, berhujah bahawa larangan merokok yang dikuatkuasakan di kedai makan adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang dan tidak munasabah kerana ia dibuat tanpa penyelidikan yang betul dan teliti.

Beliau berkata sebelum penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan pada 2019, perokok di Malaysia boleh merokok di zon khas yang disediakan oleh pemilik kedai makan berhawa dingin dan tidak berhawa dingin.

Menurut beliau lagi, mereka berpendapat bahawa keadaan ini lebih seimbang kepada hak perokok dan juga bukan perokok, di mana pengunjung yang tidak merokok boleh memilih untuk duduk di tempat yang ditetapkan larangan merokok dan perokok boleh merokok di tempat yang berkonsepkan ruang terbuka.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili kementerian, berhujah bahawa larangan merokok di kedai makan adalah tidak munasabah dan menyalahi undang-undang.

Kementerian telah mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan pada 1 Jan 2019.

-BTS Media

Leave a Comment