BTS Media

MPT akan guna blower daun kuasa bateri yang mesra alam, kurang bising

ATAS: GAMBAR HIASAN/BTS Media.

 

Oleh Fetty Rara

MAJLIS Perbandaran Taiping (MPT) mahu menggantikan “blower” daun berkuasa petrol kepada yang menggunakan bateri untuk mencapai status bandar karbon rendah menjelang 2030.

Presidennya Khairul Amir Mohamad Zubir berkata majlis itu merancang untuk menukar kepada blower berkuasa bateri secara berperingkat.

“Kami membeli hanya satu blower berkuasa bateri sebagai projek perintis untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

“Rancangannya adalah untuk menggantikan blower petrol secara berperingkat menjelang 2025,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga penuh majlis itu.

Khairul Amir berkata kuasa bateri kemudiannya akan digunakan untuk peralatan lain jika langkah itu didapati berkesan, lapor The Star.

MPT kini mempunyai 24 blower daun berkuasa petrol. Beliau berkata peralatan berkuasa petrol yang digunakan didapati tidak mesra alam.

Menurut beliau, blower petrol meninggalkan jejak karbon, yang boleh memudaratkan alam sekitar, manakala peralatan baharu itu tidak mengeluarkan gas berbahaya.

“Ia juga kurang bising pada kadar 61db berbanding blower berkuasa petrol yang menghasilkan bunyi sehingga 91db,” katanya.

Khairul Amir juga berkata kuasa bateri lebih menjimatkan kos kerana majlis itu akan membelanjakan kira-kira RM104 setahun berbanding RM737 yang dibelanjakan untuk petrol.

-BTS Media

Leave a Comment