UNDANG-UNDANG anti-lompat akan berkuat kuasa mulai esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini, Wan Junaidi berkata undang-undang itu diwartakan pada 6 Sept selepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada Pindaan Perlembagaan pada 31 Ogos.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah), beliau berkata penguatkuasaan Pindaan Perlembagaan akan ditangguhkan kepada “tarikh yang akan ditentukan kemudian”, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Wan Junaidi memberi jaminan undang-undang itu akan berkuat kuasa menjelang pilihan raya umum diadakan.
Di bawah undang-undang, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi mereka jika mereka memilih untuk melompat ke parti lain. Pengecualian akan diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mereka atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.
Ahli Parlimen yang dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat juga akan dikecualikan daripada undang-undang.
Undang-undang itu tidak akan terpakai kepada Ahli Dewan Negara, kerana pada masa ini, senator dipilih oleh DUN atau melalui lantikan politik oleh kerajaan persekutuan dan tidak bertanding untuk pilihan raya umum.