GAMBAR ATAS: Penduduk membawa keranda mangsa untuk pengebumian/Foto: Ebrahim Noroozi.
Oleh Fetty Rara
SERANGAN bom di sebuah masjid di ibu kota Afghanistan, Kabul semasa solat maghrib pada Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 jemaah, termasuk seorang ulama terkemuka, dan mencederakan sekurang-kurangnya 27 orang.
Setakat ini belum ada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan terbaharu bagi tahun ini sejak Taliban mengambil alih kuasa di negara itu pada Ogos tahun lalu, lapor media tempatan dan antarabangsa.
Beberapa kanak-kanak turut dilaporkan mengalami kecederaan.
Sejak kebelakangan ini gabungan kumpulan IS telah mempertingkatkan serangan menyasarkan pihak Taliban dan orang awam.
Minggu lepas IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas sebuah pusat agama di Kabul, menyebabkan kematian seorang lagi ulama terkemuka.
Menurut seorang saksi, serangan bom berani mati itu berlaku di Masjid Siddiquiya di bandar Kher Khanna.
Ulama yang terbunuh dikenal pasti sebagai Mullah Amir Mohammad Kabuli.
Menurut Hospital Kecemasan Itali di Kabul, 27 orang awam yang cedera, termasuk lima kanak-kanak, dibawa ke sana dari lokasi serangan.
-BTS Media