GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Fetty Rara
PEMILIK Kelab Komedi Crackhouse telah disenaraihitamkan seumur hidup daripada mendaftar perniagaan di Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata jawatankuasa pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai.
Ini bermakna dia tidak dibenarkan mendaftar apa-apa perniagaan di Kuala Lumpur, walaupun menggunakan nama (perniagaan) dan syarikat lain.
Sebelum ini dilaporkan bahawa operasi Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, digantung sementara oleh DBKL pada 10 Julai lalu setelah didapati tidak mempunyai permit hiburan dari 2014 hingga 2017 dan hanya mempunyai lesen restoran dan minuman.
Jalaluddin berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu antara polis, DBKL, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kuala Lumpur pada Rabu (17 Ogos).
Sebelum ini, dilaporkan bahawa pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video ke tiga platform media sosial yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.
Terdahulu, sebuah video tular memaparkan seorang wanita Melayu, Siti Nuramira Abdullah, 26, menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi tersebut. Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencetuskan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.
Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari yang sama.
-BTS Media