BTS Media

Crackhouse diberi surat tunjuk sebab kerana tiada lesen hiburan

KELAB Komedi Crackhouse beroperasi tanpa lesen hiburan, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias.

Premis di Taman Tun Dr Ismail yang terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu hanya memiliki lesen restoran, katanya.

“Mereka perlukan kedua-duanya. Jadi mereka pasti melanggar syarat-syarat itu,” katanya kepada The Star.

Jalaluddin berkata DBKL akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengendali kelab berkenaan hari ini (Selasa). Crackhouse perlu menjawab dalam masa 14 hari.

Operasi kelab komedi itu digantung sejak Ahad lalu susulan siasatan berhubung sebuah klip video tular yang menghina agama Islam.

Video sepanjang 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan orang ramai apabila seorang wanita bertudung dan berbaju kurung mendakwa dirinya telah menghafal 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Tindakan menggantung sementara operasi kelab itu, bagaimanapun, menerima banyak kritikan daripada komuniti pelawak dan orang ramai berpendapat kelab tersebut tidak sepatutnya dihukum atas tindakan wanita berkenaan.

Jalaluddin dilaporkan berkata Crackhouse boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari, dan juga memohon lesen hiburan daripada DBKL.

“Saya akan menyerahkan kepada jawatankuasa untuk menyiasat sama ada lesen sekarang telah disalahgunakan,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment