BEKAS ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Lokman Noor Adam akan dikenakan notis tunjuk sebab kerana didakwa menghina anggota polis dengan menggelarnya “bodoh” dan mempersoalkan undang-undang ketika hadir di bilik mahkamah untuk mengikuti perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran membangkitkan perkara itu kepada hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mahkamah berehat seketika.
“Seorang orang awam bertindak balas apabila seorang anggota polis memintanya supaya tidak ‘bermain’ dengan telefon bimbitnya. Dia memanggil polis itu ‘bodoh’,” kata Raja Rozela.
Katanya, individu terbabit turut menyatakan bahawa “undang-undang ini tidak adil” dan menambah bahawa kelakuan sedemikian tidak boleh dibiarkan.
Sequerah menyoal sama ada orang itu masih berada di mahkamah.
Lokman, yang berada di galeri awam kemudiannya berdiri dan berkata, beliau sedang “menaip” pada telefon bimbitnya.
“Saya dengan ini mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap kamu,” kata Sequerah.
“Adakah kamu hendak melantik peguam bagi memberikan alasan mengapa kamu tidak boleh dirujuk kerana menghina?”
Peguam yang mewakili Zahid, Ahmad Zahidi Zainal, kemudian mencadangkan selaku “sahabat mahkamah” supaya Lokman diberi masa untuk melantik peguam untuk mewakilinya “mungkin minggu depan apabila perbicaraan diadakan”.
Sequerah kemudian menyoal Raja Rozela sama ada pendakwaan mahu mengendalikan perkara itu memandangkan ia berlaku di bilik mahkamah.
“Tindakan perlu diambil segera dan ini boleh diuruskan petang ini,” jawab TPP.
Lokman memberitahu Sequerah bahawa beliau akan melantik peguam mewakilinya.
Sequerah berkata, surat tunjuk sebab itu akan dikeluarkan secara rasmi pada Isnin dan Lokman perlu hadir.
“Mahkamah ini memandang serius salah laku yang didakwa itu,” katanya.