BTS Media

Pembinaan LCS sedang dijalankan di Lumut, jelas CEO LTAT dalam Facebook

ATAS: Gambar sebuah LCS yang sedang dibina lengkap diambil dari feri Lumut- Pangkor.

 

PEMBINAAN kapal tempur pesisir (LCS) sedang dijalankan di Limbungan Lumut, kata ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Angkatan tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa 10 Ogos), dia mengesahkan bahawa pembinaan kapal-kapal itu sedang berjalan, dan badan kapal tersebut boleh dilihat oleh orang ramai apabila menaiki bot untuk ke Pulau Pangkor.

Ahmad Nazim berkata di bawah kontrak, semua enam kapal mesti dibina serentak, sambil menambah bahawa Limbungan Lumut besar dan mempunyai kapasiti untuk menampung projek itu.

Dia juga menjawab persoalan mengapa RM6 bilion daripada nilai kontrak RM9 bilion dibayar sedangkan lima kapal pertama hanya siap 55 peratus.

Menurutnya, RM6bil dibelanjakan untuk hampir barangan perlu bagi memperoleh peralatan pembinaan kesemua enam kapal, dan mendakwa pembelian peralatan itu secara pukal adalah pilihan lebih murah.

Ahmad Nizam juga berkata sebahagian besar daripada perbelanjaan adalah untuk reka bentuk asas dan reka bentuk terperinci yang dihasilkan oleh Naval Group berpangkalan di Perancis.

Dia berkata pada harga RM1.5bil bagi setiap kapal, ia adalah lebih murah daripada apa yang dibelanjakan oleh negara lain untuk kapal LCS.

Sebagai contoh, Ahmad Nizam merujuk kepada negara Mesir dan Emiriah Arab Bersatu yang masing-masing membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS buatan Perancis.

Secara perbandingan, Amerika Syarikat, yang membina kapal lebih canggih, membelanjakan RM2.4 bilion.

Tambahnya lagi, Boustead Holdings terpaksa mengambil alih PSC Industries Bhd yang sarat dengan hutang selepas kegagalan projek penswastaan untuk kapal Tentera Laut, untuk mengekang kerugian.

“Pengambilalihan itu termasuk hutang bank utama yang kini dipikul oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard (BNS).

“Oleh itu sebahagian daripada dana LCS digunakan untuk membayar hutang PSC. Ini ada dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” katanya.

Namun begitu, dia berkata projek pembinaan kapal LCS oleh BNS telah mewujudkan peluang pekerjaan teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera dan 400 vendor tempatan dalam beberapa bidang dengan nilai projek RM4 bilion.

Beliau menambah bahawa projek itu ditangguhkan pada 2019 dan disambung semula dengan pilihan termurah berikutan keputusan Kabinet pada April 2022.

“Keputusan itu diambil berdasarkan tiga pilihan,” katanya.

Ini termasuk penelitian oleh kerajaan ke atas pelan penstrukturan semula BNS yang mengambil masa kira-kira lapan bulan.

LTAT memiliki BNS, kontraktor utama untuk projek LCS, melalui pegangan langsung dan juga pegangan tidak langsung melalui Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Boustead Holdings Bhd (BHB).

Kontroversi berhubung skandal LCS menjadi panas sejak beberapa hari lalu selepas PAC mendedahkan bahawa tiada satu pun kapal telah disiapkan hingga sekarang, walaupun lima sepatutnya dihantar pada bulan ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa dana kerajaan bernilai RM1.4bil untuk projek LCS berbilion ringgit yang ditandatangani pada 2014 telah dialihkan untuk tujuan lain.

-BTS Media

Leave a Comment