Oleh Zainal AS Rashid
SEORANG pengarah operasi dikenal pasti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai orang berkepentingan dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Sumber SPRM yang tidak dinamakan dipetik berkata individu tersebut dianggap sebagai orang “sangat penting” dalam perolehan LCS, di mana tidak satu pun daripada enam kapal disiapkan dalam tempoh masa 10 tahun, lapor Utusan Malaysia pada Isnin (15 Ogos).
Menurut sumber SPRM, keputusan untuk mendakwa orang berkepentingan itu dibuat selepas penyiasat projek LCS menemu bual 35 saksi.
“Kesemua yang dipanggil itu dipercayai individu Kementerian Pertahanan dan syarikat korporat yang ditawarkan projek LCS.
“Kenyataan juga diambil daripada syarikat swasta tempatan dan luar negara,” sumber itu dipetik sebagai berkata.
Akhbar tersebut juga melaporkan bahawa SPRM telah membuat syor kepada Jabatan Peguam Negara dan akan menyerahkan bagi memutuskan sama ada kes itu boleh dibicarakan atau tidak berdasarkan bukti yang diberikan.
Dalam catatan Facebook Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengembalikan projek itu ke landasan yang betul.
Beliau berkata, rundingan dengan vendor, pengeluar peralatan asal (OEM) dan bank sedang dijalankan.
Projek LCS, yang dianggarkan kira-kira RM9 bilion, merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan.
Perolehan itu bermula pada 2013 dengan jangka masa 10 tahun dan enam kapal LCS sepatutnya dibina dan dihantar menjelang akhir 2023.
Lebihan kos untuk projek LCS setakat ini berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama bagi projek kapal peronda lama, kata PAC pada 4 Ogos.
Isu itu pertama kali dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 (Audit Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan) dan Laporan Penyiasatan Jawatankuasa Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, yang diterbitkan pada 2019.
-BTS Media