Oleh Zainal AS Rashid
PEMAIN industri pelancongan kecewa kerana Belanjawan 2023 didakwa gagal melihat kepada kesan jangka panjang positif terhadap mereka.
Utusan Malaysia melaporkan presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MYBHA), Sri Ganesh Michiel berkata bahawa belanjawan itu harus mempunyai peningkatan khusus untuk industri perhotelan dan pelancongan.
Beliau berkata industri tersebut memerlukan penyelesaian yang lebih berkesan dari segi peruntukan untuk menyelesaikan ancaman yang dihadapi dan untuk mendapatkan semula cukai dan hasil yang hilang akibat ketiadaan undang-undang khusus.
“Ini kerana ancaman industri seperti penginapan kediaman jangka pendek (STRA) dan semua jenis agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang muncul kerana ketiadaan undang-undang khusus untuk mengawal selia,” katanya.
Sri Ganesh berkata Malaysia harus berusaha untuk memperkenalkan belanjawan yang lebih berkesan untuk industri hospitaliti.
Beliau menambah industri pelancongan secara amnya adalah industri yang berdaya maju, tetapi terjejas berikutan kekurangan pemulihan yang mampan untuk industri hospitaliti tahun ini.
“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan membantu industri hospitaliti untuk terus hidup dan pulih secara beransur-ansur pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Dalam Belanjawan 2023, sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk promosi pelancongan dan usaha menyelesaikan kesesakan jalan raya di kawasan tumpuan pelancong.
-BTS Media