BTS Media

PKS, ekonomi hijau dan digital antara tumpuan Bajet 2023 yang disemak semula, kata Anwar

Oleh Zainal AS Rashid

KEMAJUAN digital, perusahaan kecil dan sederhana serta ekonomi hijau akan menjadi tumpuan Bajet 2023 yang disemak semula, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata ini adalah antara inisiatif yang akan diberi rangsangan dalam bajet, memandangkan kepentingan dan potensinya.

Beliau berkata beberapa bahagian bajet dibentangkan oleh pentadbiran sebelum ini akan kekal, manakala ada yang memerlukan perubahan.

“Pentadbiran baharu ini akan membuat sedikit pelarasan kepada bajet,” katanya ketika merasmikan sesi perundingan Bajet 2023 pada Selasa (17 Jan).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hutang negara kini mencecah RM1.2 trilion dan boleh mencecah RM1.5 trilion bersama liabiliti.

Perdana Menteri menegaskan bahawa walaupun angka kadar pengangguran negara rendah, kadar pengangguran belia berada pada 10 peratus.

“Sebab itu kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah kita capai kerana banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Kita mesti menukar orientasi untuk memastikan sebahagian besar rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif atau pembaharuan ekonomi ini,” tambahnya.

Bajet 2023 yang disemak semula akan dibentangkan di Parlimen pada 24 Feb.

Pentadbiran terdahulu di bawah Ismail Sabri Yaakob membentangkan Bajet membabitkan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion pada 7 Okt tahun lepas.

Bagaimanapun, ia tidak dibahaskan kerana Parlimen dibubarkan pada 10 Okt bagi memberi laluan kepada PRU15.

-BTS Media

Leave a Comment