ISU projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semakin diperkatakan setelah dedahkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.
Semakin hari isu tersebut semakin hangat dibahas dan mempersoalkan ke mana perginya jumlah wang rakyat yang begitu banyak.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran Datuk Jasri Jamaludin dalam kenyataan pada Selasa (9 Ogos) berkata, selain siasatan menyeluruh, usul tergempar juga perlu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat kerana skandal ini melibatkan apa yang dilihat sebagai penipuan membabitkan berbilion ringgit wang rakyat.
Bagi Jasri, setelah membaca rumusan laporan PAC itu, beliau percaya rakyat sama sekali tidak dapat menerima skandal perolehan yang merosakkan perancangan TLDM serta rancangan menjaga kedaulatan negara yang dianggap terancam.
Beliau berkata, ketirisan yang berlaku sudah tentu memberi gambaran buruk, terutama memandangkan skandal kewangan terburuk di dunia 1MDB masih menghantui imej negara.
Menurut beliau, RM6.083 bilion bukan jumlah yang sedikit, dan sehingga kini tiada satu pun daripada kapal yang dinantikan diserahkan kepada pihak TLDM. Ke mana perginya wang berbilion ini?
Bagaimanapun, Â beliau berkata perolehan ini perlu diteruskan kerana ia kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
Menurut beliau gambaran yang tidak elok turut timbul memandangkan kapal separa siap dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 24 Ogos 2017.
Beliau mempersoalkan jalan penyelesaian kepada skandal ini, dan merujuk kepada kenyataan terbaharu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bahawa kapal tersebut akan diserahkan dalam masa satu hingga dua tahun lagi.
Oleh itu Jasri berpandangan bahawa usul tergempar di Dewan Rakyat harus disegerakan, termasuk membentangkan kertas putih berkaitan penyelewengan yang berlaku. Ini kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.
Sebelum ini dilaporkan bahawa dana kerajaan sebanyak RM1.4bil bertujuan untuk projek LCS bernilai berbilion ringgit yang ditandatangani pada 2014 telah dialihkan untuk tujuan lain.
PAC mendedahkan di Parlimen bahawa tiada satu pun kapal siap, walaupun lima sepatutnya dihantar pada bulan ini.
Juga, peralatan LCS bernilai RM255 juta, atau 15 peratus daripada RM1.7 bilion yang disimpan dalam stor bagi projek itu kini terbiar hingga lapuk.
Semua ini terkandung dalam laporan 250 muka surat jawatankuasa dwi-partisan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Ogos.
Daripada RM1.4 bilion itu, RM400 juta digunakan untuk membayar balik hutang terdahulu yang ditanggung di bawah projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), RM305 juta digunakan untuk kemudahan integrasi di Cyberjaya, dan RM700 juta lagi adalah overrun cost yang melebihi siling kontrak LCS.
Minggu lalu, pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata Ahmad Zahid akan dipanggil oleh jawatankuasa itu awal bulan depan untuk memberi keterangan.
Bekas komander Tentera Laut Diraja Malaysia, Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS BNS juga antara yang dipanggil untuk prosiding itu.
-BTS Media