BTS Media

Pearly-Thinaah raih emas ketujuh untuk negara

Oleh Fetty Rara

HARAPAN Malaysia untuk emas ketujuh menjadi realiti melalui pasangan beregu wanita No. 10 dunia Pearly-Thinaah dalam aksi menakjubkan di Birmingham pada Isnin (7 Ogos).

Dengan ‘form’ yang mengagumkan, pasangan itu memusnahkan harapan pemain England, Lauren Smith-Chloe Birch 21-5, 21-8 untuk meraih pingat emas pada penampilan sulung mereka.

Ia merupakan perlawanan pingat emas terakhir menjelang penutupan Sukan Komanwel.

Pearly-Thinaah berada dalam mood tidak berkompromi apabila mereka meneruskan serangan dari awal hingga menyebabkan pasangan Inggeris tidak mampu bersaing.

Kemenangan ini memastikan Malaysia mengekalkan kedudukan dalam beregu wanita setelah memenangi empat daripada lima emas terakhir.

Ia bukan setakat membantu Malaysia melepasi sasaran enam emas, tetapi turut memberikan emas kedua kepada badminton dalam temasya itu.

Pearly dan Thinaah turut menjadi penyelamat minggu lalu apabila mereka memberikan mata kemenangan 3-1 Malaysia ke atas India dalam perlawanan akhir berpasukan campuran.

Terdahulu, pemain pertama Ng Tze Yong tumpas 21-19, 9-21, 16-21 kepada Lakshya Sen dari India pada perlawanan akhir.

Malaysia juga dijangka memenangi beregu lelaki, tetapi Aron Chia-Soh Wooi Yik hanya mampu meraih gangsa selepas menewaskan rakan senegara Chan Peng Soon-Tan Kian Meng 21-19, 11-21, 21-11 dalam playoff pada Sabtu.

Kian Meng-Lai Pei Jing juga diharapkan memenangi beregu campuran, tetapi tidak kesampaian dan mereka hanya mendapat gangsa selepas menewaskan Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland 21-15, 21-17.

Kemenangan Pearly-Thinaah memberikan Malaysia kutipan akhir tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa dan tempat ke-10 dalam kedudukan.

-BTS Media

Leave a Comment