Oleh Yusoff A. Shariff
MALAYSIA mempamerkan aksi hebat hampir empat jam untuk merangkul semula pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel selepas menumbangkan juara bertahan India 3-1 pada perlawanan akhir di National Exhibition Centre (NEC), Birmingham pada Rabu (3 Ogos).
Pencapaian ini menebus kekalahan di tangan India pada perlawanan akhir Sukan Gold Coast 2018, dan juga pada suku akhir Piala Thomas di Bangkok Mei lepas.
Aksi semalam menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik beraksi menewaskan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-15 untuk memberi permulaan baik kepada pasukan negara dalam acara beregu lelaki.
India menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita, Pusarla Venkata Sindhu yang menewaskan Goh Jin Wei 22-20 dan 21-17.
Pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong berjaya meletakkan Malaysia di depan dengan kemenangan tiga set 21-19, 6-21, 21-16 ke atas Kidambi Srikath Nammalwar.
Dalam perlawanan keempat, beregu wanita, M Thinaah-Pearly Tan menewaskan Jolly Treesa-Ponnappa Machimanda, 21-18, 21-17 untuk mendapatkan kejuaraan bagi Malaysia dan seterusnya meraih pingat emas pertama acara badminton di temasya itu.
Terdahulu, Malaysia menundukkan England, 3-0 di peringkat separuh akhir.
-BTS Media