BTS Media

Awesome! Aznil cipta rekod baharu di Birmingham

SKUAD angkat berat negara menyumbang pingat emas kedua kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Muhamad Aznil Bidin berjaya mengangkat keseluruhan 285kg bagi kategori 61kg lelaki, untuk mencipta rekod baharu di Birmingham.

Anak kelahiran Kedah itu melakukan angkatan snatch 127kg dan 158kg bagi clean and jerk.

Kejayaan itu membuktikan kehebatan atlet berusia 28 tahun itu, yang berjaya mempertahankan title dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Atlet Papua New Guinea Morea Baru mendapat pingat perak dengan mencatat angkatan keseluruhan 273kg, sementara  Gururaja Poojary dari India meraih pingat gangsa dengan 269kg, lapor Bernama.

Bagi Aznil, persiapan yang dibuat selama empat tahun untuk Sukan Komanwel 2022 ini membuahkan kejayaan.

Dengan kejayaan ini Aznil memantapkan motivasi untuk melayakkan diri pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sebelum itu, pada kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Colombia Disember ini Aznil akan membuat persiapan sebaiknya untuk mendapatkan pingat di temasya sukan dunia itu.

Pada saingan semalam Mohamad Aniq Kasdan meraih pingat emas pertama negara dengan mengungguli kategori 55kg lelaki.

Aniq yang melakukan angkatan keseluruhan 249kg berjaya mencipta rekod baharu temasya.

-BTS Media

Leave a Comment