BTS Media

Projek LCS pertama dijangka siap dalam satu, dua tahun – Hishamuddin

WALAUPUN mengaku kecewa, namun Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein berkata projek pertama kapal tempur pesisir pantai (LCS) dijangka siap dalam setahun dua ini, dan jadual kemajuan projek akan dilaporkan kepada orang ramai secara berperingkat.

“Kami cuba pastikan kapal kami sampai ke Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Saya juga kecewa tetapi kami perlu melihat ke hadapan,” katanya di Dewan Negara pada Isnin (8 Ogos).

Sebelum ini dilaporkan bahawa dana kerajaan bernilai RM1.4bil untuk projek LCS itu yang ditandatangani pada 2014 telah disalurkan bagi tujuan lain.

Jawatankuasa-kira-kira-wang-negara (PAC) telah mendedahkan di parlimen bahawa tiada sebuah pun kapal siap setakat ini, walaupun lima sepatutnya dihantar bulan ini.

Dalam pada itu, peralatan LCS bernilai RM255 juta, atau 15 peratus daripada jumlah bernilai RM1.7bil yang diletakkan dalam simpanan kini sudah lapuk.

Ini adalah antara penemuan yang terkandung dalam laporan 250 muka surat jawatankuasa dwi partisan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Ogos.

Daripada RM1.4 bilion itu, RM400 juta digunakan untuk membayar balik hutang terdahulu yang ditanggung di bawah projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), RM305 juta digunakan untuk kemudahan integrasi di Cyberjaya, dan RM700 juta lagi kos melebihi siling kontrak LCS.

Pada Khamis (4 Ogos), Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil oleh jawatankuasa itu awal bulan depan, untuk memberi keterangan.

Bekas komander Tentera Laut Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS BNS juga antara yang dipanggil untuk prosiding itu.

-BTS Media

Leave a Comment