SEORANG aktivis Kua Kia Soong berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrhaim perlu memberi penjelasan mengapa kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang dibayangi skandal.
Dalam satu kenyataan, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu juga berkata, semasa Anwar menjadi ketua pembangkang, beliau menggesa supaya fasa seterusnya projek LCS dimansuhkan dengan berkata, dana itu perlu dialihkan untuk membantu rakyat sebaliknya.
“Anwar berkata jelas terdapat penyelewengan dana dan ketirisan serta ‘rasuah besar-besaran’.
“Anwar telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat semua yang berkenaan, termasuk menteri pertahanan dan ketua setiausaha kementerian,” katanya.
Tambahnya, projek-projek kontroversi ini berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional dahulu jadi persoalannya sekarang adalah apa yang akan dilakukan oleh jaguh ‘Reformasi’ mengenainya.
“Dengan meneruskan projek LCS ini dan dikendalikan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Anwar pada dasarnya telah kembali kepada pendiriannya sebelum PRU15 semasa beliau menjadi ketua pembangkang,
“Oleh itu beliau perlu memberi penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia mengenai perkara ini dan memberi jaminan bahawa kita akan sampai ke bahagian bawah skandal ini yang melibatkan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata, kerajaan perpaduan akan meneruskan projek LCS bermasalah bernilai RM9 bilion.
Menurut Bernama, Mohamad berkata, pembinaan kapal itu akan diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut.
Projek itu menjadi tumpuan tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tidak ada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6.08 bilion untuknya.
Pada Mac tahun lalu, pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk meneruskan projek itu, sebelum PAC dikeluarkan pada Ogos.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang menyiasat projek itu, telah mengesyorkan supaya beberapa individu didakwa.
Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/01/06/aktivis-persoal-kenyataan-u-turn-anwar-berkait-projek-lcs/