PRESIDEN BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Kabinet untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau mendakwa penyelewengan itu berlaku ketika Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memegang portfolio Menteri Pertahanan.
“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.
“Bantahan ini, bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan percaya mantera yang akan dibawa oleh BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Walaupun pemerintahan kleptokrasi BN telah berakhir pada PRU-14 yang lalu, namun sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.
“Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS TLDM yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion.
Muhyiddin berkata ia merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerahkan kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut,” katanya.
-BTS Media