BTS Media

Pelancong diberi amaran bahaya beribu ketam labah-labah bisa serang pantai Cornwall, England

Oleh Fetty Rara

Destinasi pelancongan popular di Cornwall, England dibanjiri oleh ketam labah-labah berbisa.

Gambar dan video yang dikongsi dalam media sosial merakamkan krustasea itu berkerumun di kawasan cetek Pantai Porthgwidden, St Ives, lapor akhbar The Independent.

Spesies ketam itu berada di sana untuk menyalin cangkerang sebelum kembali ke tempat pembiakan mereka sebagai sebahagian daripada corak penghijrahan tahunan musim panas.

Proses itu menyaksikan ketam tersebut muncul daripada bahagian cangkerang, justeru meninggalkan seluruh bahagian luar yang kelihatan seperti ketam hidup.

Jurufoto marin, Kate Lowe berkata dia tidak pernah melihat begitu banyak ketam labah-labah berada di pantai tersebut, dan sekali pandang dia menyangka bahawa kawasan gelap di sepanjang pantai hanya batu-batu berlumut, tetapi setelah diteliti rupanya ribuan ketam.

Adalah dipercayai bahawa ketam labah-labah berkumpul begitu bagi menakutkan pemangsa, sementara menjalani proses pertukaran cangkerang.

Ketam jenis ini mempunyai gigitan beracun yang mampu membunuh pemangsa, tetapi tidak kepada manusia.

Walaupun jumlah ketam labah-labah dilaporkan meningkat di perairan British, pasaran spesies itu hanya kecil di United Kingdom, walaupun ia dianggap sebagai makanan istimewa di negara-negara Eropah, termasuk Sepanyol dan Perancis.

-BTS Media

Leave a Comment