BTS Media

PDRM dikaitkan dengan usaha trol pro-kerajaan dalam laporan suku tahunan Meta

Oleh Fetty Rara

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah dikaitkan dengan kumpulan trol  mempromosikan kerajaan dan mengkritik pihak pengkritiknya, menurut laporan oleh syarikat gergasi teknologi, Meta yang juga pengendali media sosial Facebook.

Dalam laporan suku tahunan “Adversarial Threat Report”, Meta mendakwa bahawa hampir 1,000 akaun Facebook, Instagram, termasuk grup dan laman berkaitan telah dipadamkan kerana melanggar syarat serta dasar platform apabila didapati berkelakuan tidak sepatutnya.

Menurut syarikat itu, ia didefinisikan sebagai penggunaan akaun palsu bagi memanipulasikan perbahasan awam untuk matlamat atau agenda tertentu.

Di Malaysia, laporan itu berkata sebanyak 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 grup, dan 72 akaun Instagram telah dipadamkan kerana melanggar dasar tersebut.

Rangkaian berkenaan dikatakan berpangkalan di Malaysia dan menyasarkan pengikut domestik di negara ini.

Meta berkata individu-individu pengendali pusat trol berkenaan menjalankan operasi  terancang bagi merosak dan memanipulasi wacana awam menerusi penggunaan akaun palsu, dan seterusnya mengelirukan orang ramai tentang siapa sebenarnya di belakang mereka.

Laporan itu menambah bahawa rangkaian itu aktif merentasi Internet, termasuk Facebook, TikTok, Twitter, Instagram, dan menyiarkan meme (ilustrasi grafik) dalam bahasa Melayu untuk menyokong gabungan kerajaan semasa, dengan dakwaan rasuah dalam kalangan pengkritiknya.

Di Facebook, rangkaian ini dikatakan menguruskan halaman, termasuk yang menyamar sebagai portal berita bebas, dan mempromosikan polis sambil mengkritik pembangkang.

Biasanya, kumpulan ini memuat naik post pada hari bekerja, dan berehat seketika pada waktu makan tengah hari. Akaun-akaun palsu yang digunakan pula didapati tidak profesional, ringkas, dengan sebahagianya daripadanya menggunakan gambar profil pihak lain yang dicuri.

Meta berkata sebahagian besar akaun tersebut telah dilumpuhkan secara automatik.

Meta turut mendakwa bahawa operasi tersebut dikesan oleh penyelidik di Clemson University, Amerika Syarikat selepas menyemak maklumat berhubung sebahagian kecil aktiviti yang mulanya disyaki berasal dari China.

“Walaupun pihak di belakang tabir cuba menyembunyikan identiti, siasatan kami menemui kaitan dengan Polis Diraja Malaysia,” tambah Meta.

Quarterly-Adversarial-Threat-Report-Q2-2022

-BTS Media

Leave a Comment