BTS Media

PDRM tolak dakwaan, kata tiada kaitan dengan trol pro-kerajaan

Oleh Zainal AS Rashid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan mempunyai kaitan dengan gerakan trol pro-kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin menyangkal dakwaan Meta dalam Laporan Quarterly Adversarial Threat Report.

Beliau berkata, PDRM memandang berat dakwaan tersebut, dan sedang mengumpul lebih banyak maklumat.

Dalam laporan itu, Meta mendakwa bahawa hampir 1,000 akaun Facebook, Instagram serta grup dan halaman telah dipadamkan kerana melanggar dasar platform berkenaan.

Ia menambah bahawa perbuatan sedemikian boleh ditakrifkan sebagai penggunaan akaun palsu untuk memanipulasi perbahasan awam bagi mencapai matlamat dan agenda tertentu.

Menurut Meta, di Malaysia sebanyak 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 grup dan 72 akaun Instagram telah dipadamkan kerana melanggar dasar.

Meta berkata individu-individu pengendali pusat trol berkenaan menjalankan operasi terancang bagi merosak dan memanipulasi wacana awam menerusi penggunaan akaun palsu, dan seterusnya mengelirukan orang ramai tentang siapa sebenarnya di belakang mereka.

Laporan itu menambah bahawa rangkaian tersebut aktif merentasi Internet, termasuk Facebook, TikTok, Twitter, Instagram, dan menyiarkan meme (ilustrasi grafik) dalam bahasa Melayu untuk menyokong gabungan kerajaan semasa, dengan dakwaan rasuah dalam kalangan pengkritiknya.

Di Facebook, rangkaian tersebut menguruskan halaman, termasuk yang menyamar sebagai portal berita bebas, dan mempromosikan polis sambil mengkritik pembangkang.

Biasanya, kumpulan ini memuat naik post pada hari bekerja, dan berehat seketika pada waktu makan tengah hari. Akaun-akaun palsu yang digunakan pula didapati tidak profesional, ringkas, dengan sebahagianya daripadanya menggunakan gambar profil pihak lain yang dicuri.

Meta turut mendakwa bahawa operasi tersebut dikesan oleh penyelidik di Clemson University, Amerika Syarikat selepas menyemak maklumat berhubung sebahagian kecil aktiviti yang mulanya disyaki berasal dari China.

“Walaupun pihak di belakang tabir cuba menyembunyikan identiti, siasatan kami menemui kaitan dengan Polis Diraja Malaysia,” tambah Meta.

-BTS Media

Leave a Comment