Sektor perbankan perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memacu pemulihan ekonomi memandangkan negara akan beralih kepada fasa endemik bermula 1 April, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, sektor kewangan mesti menyediakan akses kepada modal yang diperlukan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan transaksi antara pemberi pinjaman dan peminjam.
“Peranan bank dalam menyokong pemulihan ekonomi adalah sangat penting,” katanya pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia 2022 pagi ini.
“Kerajaan dan industri perbankan mengambil langkah berani pada kemuncak wabak Covid-19, terutamanya berhubung moratorium pinjaman dan penangguhan pembayaran balik untuk tempoh enam bulan.
“Saya harap bank-bank akan kembali bekerjasama dengan kerajaan untuk memacu pemulihan ekonomi. Saya harap kerajaan dan institusi kewangan akan melakukan yang terbaik bagi memudahkan pembiayaan untuk perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (dalam sektor) yang dilanda teruk oleh wabak, seperti penerbangan, pelancongan dan hospitaliti.”
Mustapa berkata, 2022 bukan sahaja akan menjadi tahun untuk pemulihan ekonomi tetapi juga untuk pembaharuan ekonomi. Memandangkan negara menyasarkan untuk menjadi ekonomi maju menjelang 2025, beliau berkata, “Malaysia perlu mengubah cara ia bekerja”.
“Kita mesti meningkatkan pelaburan dalam modal insan dan bakat, meningkatkan kemahiran dan terus melatih semula tenaga kerja kita.
“(Kita juga mesti) meningkatkan daya saing dan inovasi, memperbaharui dan mengukuhkan institusi kita, meluaskan dan mendalamkan jaringan keselamatan sosial, dan memastikan pengagihan semula pendapatan yang lebih saksama.
“Ini adalah matlamat yang mencabar tetapi kita tiada pilihan selain untuk terus maju. (Fasa) terburuk Covid-19 telah berakhir, mudah-mudahan. Sudah tiba masanya untuk kita mengemudi tenaga untuk melakukan pembaharuan dan transformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025,” katanya.
Mustapa berkata, Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 menjadi panduan negara untuk maju.
Katanya, ia menggariskan keutamaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun-tahun akan datang, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dalam mempercepatkan pendigitalan, menyediakan lebih banyak pilihan dan akses kepada pengguna, mengukuhkan ekosistem pembiayaan dan memajukan pembiayaan hijau.
Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Institut Strategik KSI.