BTS Media

Satu daripada setiap 20 pesakit Covid-19 hilang deria bau atau rasa

GAMBAR ATAS: dronepicr, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Fetty Rara

SATU daripada setiap 20 individu yang dijangkiti Covid-19 didapati mengalami masalah bau atau rasa jangka panjang.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The BMJ pada 27 Julai (2022), ini bermakna berjuta individu di seluruh dunia mungkin menderita kehilangan masalah bau dan rasa selama sekurang-kurangnya enam bulan berikutan jangkitan Covid-19.

Masalah kehilangan atau perubahan deria bau atau rasa boleh membawa kepada isu lebih teruk, kata pakar yang turut menggesa pihak berkuasa kesihatan supaya membantu mereka yang berasa diri mereka “terasing” apabila diketepikan oleh doktor.

Ini kerana aktiviti harian seperti menghidu kopi dan merasa makanan boleh menjadi sesuatu yang “menjijikkan dan menekan emosi”.

Kajian itu dibuat ketika Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK (NHS) mengumumkan rancangan untuk menambah baik usaha rawatan kesan Covid berpanjangan (Long Covid) bagi individu yang menderita mengalami kesan berterusan selepas jangkitan.

Di bawah garis panduan baharu, pesakit yang disyaki mengalami kesan Covid berpanjangan di United Kingdom akan menjalani penilaian awal dalam tempoh enam minggu.

Sementara itu, kajian baharu itu sedang menyemak data daripada 18 kajian melibatkan 3,699 pesakit.

Berdasarkan data, pasukan terdiri daripada penyelidik antarabangsa, yang lebih separuh berasal dari Singapura, menggunakan model untuk menganggarkan bilangan individu yang mengalami perubahan rasa atau bau selama sekurang-kurangnya enam bulan selepas jangkitan Covid-19.

Mereka membuat kesimpulan bahawa kira-kira 5.6 peratus pesakit Covid-19 mengalami masalah bau selama sekurang-kurangnya enam bulan dan 4.4 peratus mengalami masalah rasa.

Pada Julai (2022), terdapat kira-kira 550 juta jangkitan di seluruh dunia. Ini bermakna 15 juta individu mungkin mengalami masalah bau berpanjangan, dan 12 juta pesakit mengalami masalah rasa selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Golongan wanita berkemungkinan berdepan dengan kesukaran mendapat semula deria bau dan rasa mereka.

Juga, pesakit yang paling teruk dijangkiti berkemungkinan mengalami kesan berkekalan.

-BTS Media

Leave a Comment