GAMBAR ATAS: Twitter @HilalAzmi.
Oleh Zainal AS Rashid
PELUKIS tempatan harus memanfaatkan teknologi metaverse dan non-fungible token (NFT) untuk melonjakkan seni dan teknologi negara ke peringkat seterusnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata perubahan teknologi menjanjikan perkara yang lebih baik untuk masyarakat kerana ia memberi lebih banyak peluang untuk berhubung dengan kurator dan meningkatkan kerjaya mereka.
Menurut beliau, metaverse membolehkan pelajar mengalami pembelajaran secara inklusif. Justeru, beliau berharap teknologi tersebut akan menyumbang banyak kepada kehidupan, termasuk dalam cara pembelajaran dan komunikasi.
Tun merujuk kepada pandemik Covid-19 selama dua tahun yang membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut.
Beliau berkata pada pelancaran “Metaverse Virtual Gallery & NFT for Legacy of Tun Mahathir” di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam bahawa sepanjang waktu itu kehidupan norma baharu telah melahirkan pelbagai pendekatan, termasuk membeli makanan, bermesyuarat dan hampir segala-galanya dijalankan secara dalam talian.
Pengerusi projek Martin Chew berkata Galeri Maya Metaverse adalah bertujuan untuk mewujudkan sebuah platform di mana seni lukis dan teknologi saling menjalin dengan lancar, justeru memperkasakan sebuah generasi pelukis untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka menggunakan teknologi canggih.
Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform komunikasi antara budaya yang boleh diakses serta-merta, dan melepasi halangan dan batasan, termasuk lokasi geografi, masa dan bahasa.
Oleh itu, Galeri Maya Metaverse akan dapat diakses oleh orang ramai di seluruh dunia dalam era baharu realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).
Dalam pada itu, galeri tersebut juga akan berfungsi sebagai platform pendidikan yang membolehkan generasi sekarang dan akan datang mengalami detik-detik sejarah penting negara ini yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Walaupun metaverse merupakan konsep baharu, ia telah mencetuskan pelbagai kemajuan teknologi yang membentuk masa depan dalam masa nyata.
Untuk maklumat lanjut tentang projek ini sila layari https://www.uniqueprometa.com
-BTS Media