Oleh Fetty Rara
INDONESIA akan mencipta metaverse sendiri untuk mempromosikan firma tempatan yang bersaing dengan syarikat asing.
Ini merupakan usaha terbaru negara itu untuk menebus semula penguasaan dan pengaruh Internet daripada Google dan Facebook.
Dalam satu kenyataan, syarikat telekomunikasi utama PT Telkom telah melancarkan “metaNesia”, iaitu sebuah platform bagi membantu ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu bersaing dalam dunia dalam talian yang begitu popular, terutama dalam kalangan generasi muda di negara itu.
Menteri Syarikat Milik Negara Erick Thohir, berkata jangan dibiarkan negara-negara lain mencipta dunia baharu menggunakan sistem pembayaran mereka sendiri, sedangkan pasarannya di Indonesia.
Beliau berkata pada Ahad (31 Julai) jika tidak bertindak sekarang, negara akan menyesal kemudian kelak.
Butiran masih belum diketahui tentang cara metaNesia akan beroperasi dan skopnya.
Bagaimana pun, Thohir berkata ia akan berfungsi sebagai platform untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana Indonesia mempamerkan barangan mereka pada kedudukan yang sama standard dengan perniagaan asing yang lebih besar.
“Ia juga akan dapat menawarkan perkhidmatan sosial penting, seperti perundingan kesihatan dalam talian kepada lebih ramai penduduk,” katanya.
Perkhidmatan ini termasuk Metaverse Mall untuk menampilkan kedai, pusat servis dan hiburan, serta Konsert Metaverse.
Secara dasarnya, ia juga bertujuan untuk menghoskan pasaran NFT, mesyuarat maya, dan e-sukan menjelang akhir tahun ini.
Pada peringkat ini aplikasi awal metaNesia launcher boleh dimuat turun untuk Windows 10, Mac OS, dan Android melalui Google Play.
-BTS Media