GAMBAR ATAS: NYT.
Oleh Fetty Rara
RANG undang-undang yang melarang penjualan anjing, kucing dan arnab di kedai haiwan peliharaan New York, diluluskan oleh badan perundangan pada Jun lepas, dan kini menunggu keputusan daripada Gabenor Kathy Hochul.
Beratus-ratus poskad, dengan imej anak anjing jenis golden retriever yang kelaparan dikurung dalam keadaan kotor dan sempit telah membanjiri pejabat gabenor New York.
Susulan itu juga satu kempen besar-besaran bagi mendesak ditangani isu kezaliman dan penderaan haiwan peliharaan yang dijual di kedai telah dilancarkan oleh beberapa kumpulan perlindungan haiwan kebangsaan Amerika Syarikat.
Bagaimana pun, industri kedai haiwan peliharaan dan kumpulan pelobi sebalik turut bangkit membantah tindakan itu.
Secara sinis, akhbar The New York Times melaporkan bahawa gabenor perlu memutuskan sama ada akan menandatangani sebelum akhir tahun beberapa rang undang-undang, yang mana paling menyentuh emosi ialah berhubung kebajikan haiwan peliharaan yang tidak mempunyai hak untuk mengundi, justeru pembelaan mereka perlu diperjuangkan oleh aktivis.
Setelah dibahasakan sejak beberapa tahun, pada Jun lalu pihak penggubal undang-undang New York telah meluluskan satu rang undang-undang yang melarang penjualan kucing, anjing dan arnab di semua kedai haiwan.
Sekiranya undang-undang itu berjaya mendapat kelulusan, New York akan mengikut jejak langkah California, Maryland, Illinois dan beberapa negeri lain di AS yang melarang penjualan pembiakan haiwan peliharaan untuk tujuan komersial.
Isu pusat pembiakan dan kedai haiwan yang beroperasi tanpa kawalan hingga berlaku kezaliman telah lama ditonjolkan, namun baharu sekarang ia mendapat perhatian pihak berkuasa.
Sebagai alternatif, rang undang-undang tersebut akan menggalakkan orang ramai mengambil untuk dipelihara kucing dan anjing dari pusat-pusat perlindungan haiwan secara percuma.
Oleh kerana masalah ini begitu berleluasa di New York, langkah kerajaan melaksanakan undang-undang tersebut akan memberi kesan meluas di serata AS.
Respons kepada alasan bahawa undang-undang itu akan menyebabkan beribu pekerja kedai haiwan peliharaan akan kehilangan pekerjaan, pihak aktivis berkata ia tidak semestinya berlaku kerana para pekerja terbabit masih boleh bekerja di kedai-kedai penjualan produk penjagaan haiwan.
Apa pun reaksi dan tindakan yang tercetus berikutan langkah ini, yang nyata dalam peradaban manusia, terutama mengikut hukum pelbagai agama, kezaliman terhadap haiwan adalah dilarang, dan ini merupakan premis pelaksanaan undang-undang berkenaan.
-BTS Media