Oleh Fetty Rara
Di New York, Amerika Syarikat seorang penyerang lelaki berusia 18 tahun yang lengkap bersenjata menembak mati 10 orang pada Sabtu (14 Mei) di sebuah kedai runcit di Buffalo.
Penyerang yang memakai perisai badan dan topi keledar itu kemudian ditahan, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia pada sidang media.
Menurut Gramaglia, jumlah kematian disahkan 10 orang dengan tiga kecederaan.
Sebelas daripada mangsa adalah warga Amerika kulit hitam.
Lelaki bersenjata itu menembak mati empat orang di tempat letak kereta pasar raya Tops, Â kemudian masuk ke dalam dan terus melepaskan tembakan lagi, kata Gramaglia.
Antara yang terbunuh di dalam kedai, termasuk seorang pesara polis yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersenjata.
Sebelum terbunuh, pengawal tersebut sempat melepaskan beberapa das tembakan, namun dia ditembak mati oleh penyerang.
Setiba pasukan polis ke lokasi kejadian, lelaki itu menghalakan senjata ke lehernya, tetapi berjaya dipujuk supaya menyerah diri.
Pada sidang media itu, Ejen FBI Stephen Belongia berkata kejadian sedang disiasat sebagai jenayah kebencian dan kes ekstremisme ganas bermotifkan perkauman.
Ketua polis daerah Erie, John Garcia pula menyifatkan serangan itu sebagai jenayah perkauman 100% yang dilakukan oleh orang luar.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Peyton Gendron dari Conklin, New York dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup tanpa parol dan tanpa jaminan.
Gabenor New York, Kathy Hochul melalui Twitter hari ini menyifatkan kejadian itu sebagai satu lagi angkara puak pelampau kulit putih yang amat dahsyat.
Jurucakap aplikasi media sosial Twitch berkata penyerang sempat membuat siaran ‘live’ perbuatannya melalui platform tersebut.
Amerika Syarikat mencatatkan sebanyak 19,350 pembunuhan bersenjata pada 2020, iaitu peningkatan sebanyak 35%.
-BTS Media