BTS Media

Kenaikan harga barang letak peniaga kedai runcit dalam dilema

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

ISU kenaikan harga dan bekalan barang keperluan harian bukan sahaja menimbulkan rungutan pengguna malah keadaan itu turut meletakkan peniaga kedai runcit dalam situasi agak sukar ketika ini.

Rata-rata peniaga kedai runcit terutama yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan mengakui cukup terkesan dengan masalah itu dan bimbang ia berlanjutan hingga mendedahkan mereka kepada risiko tutup kedai.

Wartawan Sinar Harian, Nik Amirulmu’min Nik Min berkesempatan menemui beberapa orang peniaga runcit di sekitar Kuantan untuk mendengar luahan mereka.

Selain berdepan masalah kenaikan harga dan bekalan barang, peniaga kedai runcit terpaksa bersaing dengan perniagaan pasar raya dan kedai serbaneka yang dibuka segenap ceruk di daerah ini.

Dengan kemampuan modal yang terhad, mereka juga terpaksa menanggung segala kos dan risiko demi keuntungan dengan margin sangat kecil.

Bagi Abd Rahman Endut, 62, yang mengusahakan kedai runcit secara kecil-kecilan di Sungai Karang, di sini, isu kenaikan harga barangan keperluan harian atau makanan asas satu bebanan yang menghimpit kebanyakan peniaga kecil sepertinya.

Menurut Abd Rahman, masalah itu bukan sahaja menyebabkan dia terpaksa menanggung kos lebih tinggi malah hasil keuntungan juga semakin mengecil.

“Barangan seperti minyak masak, gula, telur dan barangan makanan asas lain adalah barang pokok yang menjadi keperluan pelanggan.

“Bila berlaku masalah bekalan barangan keperluan seperti dalam kes telur, kami akan mengalami kerugian kerana tidak dapat menjualnya seperti biasa atau hanya dalam jumlah terhad sedangkan barang itu yang sentiasa mendapat permintaan pelanggan.

“Bila barang kurang, harga akan naik, begitu juga di peringkat runcit kami tiada pilihan selain menaikkan harga bagi mengelak kerugian,” ujarnya.

Abd Rahman yang mengusahakan perniagaan kedai runcit sejak empat tahun lalu berkata, sesetengah barang di kedainya didapatkan terus daripada pembekal, selebihnya daripada pemborong sekitar Kuantan dengan harga lebih tinggi selain terpaksa mengambil kira kos tambahan pengangkutan dan sewa kedai.

“Walaupun berdepan saat sukar, saya berusaha memastikan barangan utama yang mendapat permintaan sentiasa ada di rak jualan supaya pelanggan yang singgah dapat membeli setiap barang yang diperlukan,” katanya yang mengakui masih mampu bertahan dengan keuntungan diperoleh hasil perniagaan itu tanpa menyebut jumlah pendapatan bulanannya.

Abdullah Ismail, 48, berkata, selain isu harga dan bekalan, saingan pasar raya besar, pasar raya dan kedai serbaneka juga antara cabaran yang terpaksa dihadapi peniaga kedai runcit kecil sepertinya.

“Harga yang ditawarkan pasar raya lebih rendah menyebabkan kedai runcit menjadi pilihan terakhir pelanggan untuk mendapatkan keperluan.

“Tidak dinafikan pelanggan tetap ada tapi barang yang dibeli dalam jumlah yang kecil begitu juga dengan untung yang saya dapat.

“Sebab itu saya tidak ambil dan simpan stok banyak, bimbang tidak terjual dan rugi,” jelasnya.

Selain itu katanya, peniaga kedai runcit kecil juga berdepan masalah apabila pihak pembekal seolah-olah tidak yakin untuk membekalkan barangan atau meletakkan produk mereka.

Bagi Siti Nadzirah Zulkifli, 28, yang mengusahakan kedai runcit di Taman PSJ, di sini pula bersyukur apabila perniagaan yang diusahakan sejak enam tahun lalu mampu bertahan hingga kini.

Namun, Siti Nadzirah berkata, perniagaannya ada peningkatan dalam tempoh itu namun sukar untuk berkembang lebih jauh ekoran cabaran dan masalah yang menghimpit peniaga kedai runcit.

Menurutnya, hasrat untuk membesarkan perniagaan dengan premis lebih besar memang ada namun banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk saingan dan sebagainya.

“Walaupun kurang pelanggan yang berbelanja di kedai runcit, untung tetap ada sebab itu perniagaan ini masih bertahan.

Saingan pasar raya antara cabaran dihadapi peniaga kedai runcit yang bergantung dengan modal terhad.

Saingan pasar raya antara cabaran dihadapi peniaga kedai runcit yang bergantung dengan modal terhad.

“Namun, masalahnya bila barang habis, stok pula lambat sampai, pelanggan yang singgah, namun keluar kedai dengan rasa kecewa.

“Itu satu kerugian bagi kami sebagai peniaga,” ujarnya.

Kerajaan disaran sedia inisiatif bantu peniaga kedai runcit

Sementara itu, kerajaan disaran menyediakan inisiatif bagi membantu peniaga kedai runcit mengembangkan perniagaan melalui bantuan modal perniagaan atau pinjaman khas.

Peniaga kedai runcit di Taman Kristal, di sini Shafie Safri, 24, berkata, langkah itu bagi memastikan peniaga terutama golongan belia dapat bertahan menghadapi saingan perniagaan yang semakin mencabar.

Menurutnya, inisiatif seperti Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) yang diperkenalkan pada 2011 wajar diteruskan bagi membantu mengembangkan perniagaan terutama yang diusahakan golongan belia.

“Kerajaan melalui agensi berkaitan diminta menghebahkan sebarang bentuk bantuan yang disediakan kepada golongan peniaga sama ada bantuan modal, pinjaman khas, geran, program latihan dan sebagainya melalui media sosial selain memudahkan urusan permohonan.

“Nasib peniaga kedai runcit kecil-kecilan perlu diberi perhatian kerana mereka turut terkesan dalam isu kenaikan harga dan masalah bekalan barangan keperluan ketika ini,” katanya.

Tambah Shafie, agensi berkaitan juga disarankan turun padang mendekati peniaga kedai runcit bagi mendengar sendiri permasalahan dihadapi golongan itu.

Jelasnya, kesukaran mendapatkan kepercayaan pembekal sehingga terpaksa mendapatkan bekalan daripada pemborong dengan harga lebih tinggi juga perlu diberi perhatian.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/241084/berita/nasional/keluhan-peniaga-kedai-runcit

Leave a Comment