ATAS: Gambar Salman Rushdie ( ActuaLitté, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons)
Oleh Fetty Rara
NOVELIS kelahiran India, Salman Rushdie, yang menghabiskan masa bertahun-tahun bersembunyi selepas Iran menggesa dia dibunuh oleh umat Islam kerana tulisannya, ditikam di leher dan perut semasa berada di pentas menyampaikan syarahan di New York, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Selepas beberapa jam menjalani pembedahan, Rushdie terpaksa menggunakan alat pernafasan dan tidak dapat bercakap akibat serangan itu.
Ejennya, Andrew Wyklie berkata keadaan Rushdie Rushdie tidak baik dan berkemungkinan kehilangan sebelah mata, saraf di lengan terputus, dan organ hati rosak akibat tikaman, lapor NYT.
Rushdie, 75, diperkenalkan untuk memberi ceramah kepada ratusan penonton mengenai kebebasan artistik di Chautauqua Institution di barat New York apabila seorang lelaki meluru ke pentas dan menerkam ke arah novelis itu.
Sejak Iran menjanjikan hadiah bagi sesiapa membunuhnya, penulis itu sentiasa terpaksa menyembunyikan diri apabila berada dalam khalayak ramai sejak 1980an.
Para hadirin yang terkejut membantu menangkap lelaki yang menyerang Rushdie dan menyerahkannya kepada seorang anggota polis .
Polis mengenal pasti suspek sebagai Hadi Matar, 24 tahun dari Fairview, New Jersey.
Penyiasat persekutuan sedang bekerjasama dengan polis untuk menentukan motif serangan.
Rushdie, yang dilahirkan dalam keluarga Muslim Kashmir di Bombay (Mumba), sebelum berpindah ke United Kingdom, telah lama menghadapi ancaman bunuh berikutan kandungan novel keempatnya, “The Satanic Verses,” Â yang didakwa mempersendakan Al-Quran.
Novel yang diterbitkan pada 1988 itu diharamkan dibanyak negara Islam.
Pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini, kemudian mengeluarkan fatwa menyeru umat Islam supaya membunuh Rushdie, termasuk sesiapa sahaja yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan.
Penterjemah novel tersebut, Hitoshi Igarashi, dibunuh pada tahun 1991. Pada 1998 kerajaan Iran berkata fatwa itu tidak lagi disokong, dan Rushdie mula hidup secara terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
-BTS Media