BTS Media

Kumpulan hak asasi haiwan selar MPK kerana cedera anjing liar

Oleh Fetty Rara

Sebuah kumpulan hak asasi haiwan membidas Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana didakwa mencederakan seekor anjing semasa operasi kawalan haiwan.

Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) berkata pihaknya menerima aduan berdasarkan video yang menunjukkan bagaimana seekor anjing cedera selepas ditangkap penguat kuasa MPK, lapor FMT.

Video sepanjang 19 saat yang menjadi tular itu menunjukkan keadaan anjing itu mengalami pendarahan pada bahagian muncung ketika ditangkap.

Beberapa orang juga kedengaran memarahi pegawai penguat kuasa kerana mencederakan anjing itu.

Masih tidak dapat disahkan bila video tersebut dirakam.

SAFM dalam satu kenyataan berkata ada SOP bagi memastikan keselamatan haiwan terbiar apabila tindakan diambil oleh pegawai penguat kuasa, dan mempersoalkan sama ada pihak MPK mematuhinya.

Persatuan itu juga bertanya siapa yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku, dan adakah tindakan dikenakan terhadap pegawai-pegawai berkenaan.

Sambil menegaskan bahawa apa yang dilakukan telah melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015, SAFM menggesa Jabatan Veterinar (DVS) mengambil tindakan sebagai amaran kepada pihak berkuasa tempatan yang lain.

Kejadian di Klang itu berlaku dua minggu selepas pegawai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diselar kerana dikatakan bertindak zalim ke atas dua ekor lembu.

Video yang dirakam oleh seorang penggembala lembu menunjukkan pegawai penguat kuasa veterinar MBSP mengheret seekor lembu yang tidak sedarkan diri dengan tali di lehernya ke dalam sebuah lori.

Aktivis yang juga peguam, Rajesh Nagarajan memberitahu FMT bahawa tindakan pegawai penguat kuasa MBSP dianggap melakukan kekejaman terhadap haiwan dan bertentangan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

-BTS Media

Leave a Comment