Oleh Zainal AS Rashid
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang disiasat berhubung dakwaan wang dalam akaunnya.
Mengesahkan ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan dibuka selepas laporan dibuat.
Beliau berkata siasatan dimulakan kerana laporan dibuat, dan bukan kerana dakwaan dalam media sosial, lapor The Star.
Mohd Nazlan adalah hakim yang yang mendapati bekas perdana menteri bersalah berhubung penyelewengan sebanyak RM42juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan sama ada pegawainya akan mencari dokumen atau akan memanggil individu-individu lain untuk disoal siasat.
Menurut beliau siasatan masih di peringkat awal, dan pegawai SPRM akan membuat keputusan semasa siasatan.
Sebuah artikel pada 20 April yang disiarkan dalam blog Malaysia Today mendakwa Mohd Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
Artikel itu mendakwa wang tersebut masuk ke akaun sewaktu Mohd Nazlan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang dan setiausaha syarikat Maybank.
Susulan itu, Mohd Nazlan membuat laporan polis terhadap blog berkenaan pada Khamis (21 April), dan menafikan tuduhan yang dikatakannya berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata laporan polis dibuat supaya siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta peruntukan lain yang berkaitan.
-BTS Media