BTS Media

Bandaraya New York akan masukkan individu ‘masalah mental’ ke hospital secara paksa

DATUK Bandar New York Eric Adams telah mengarahkan Jabatan Polis New York (NYPD) dan pegawai keselamatan untuk menahan mana-mana individu yang kelihatan “sakit mental” secara paksa untuk penilaian psikiatri, walaupun mereka tidak dianggap sebagai ancaman kepada orang ramai.

“Tanpa campur tangan ini, mereka tetap terasing daripada masyarakat, dan terseksa oleh khayalan dan pemikiran yang tidak teratur,” kata Adams semasa dalam sidang media akhbar Selasa lalu.

Bagaimana pun, arahan itu telah mencetuskan kemarahan, kontroversi serta perdebatan tentang gelandangan dan penyakit mental, dan cara menangani kedua-dua isu tersebut.

Sepanjang memegang jawatan, Adams dilaporkan tegas menyasarkan penduduk New York yang tidak mempunyai rumah dari jalan-jalan bandar dan menaiki kereta api bawah tanah tanpa tujuan sekadar untuk berlindung, lapor abcNEWS.

Alasan yang diberikan oleh beliau ia untuk membanteras jenayah, dan menyasarkan kumpulan gelandangan demi keselamatan awam.

Buat masa ini, SOP untuk pegawai kuasa di bandar raya New York membenarkan “penahanan bagi tujuan penilaian psikiatri, individu yang kelihatan sakit mental dan berkelakuan yang mungkin memudaratkan diri sendiri atau orang lain.

-BTS Media

Leave a Comment