Oleh Feste KR
KANAK-kanak perempuan berusia empat tahun yang didera oleh ibu angkatnya baru-baru ini akan ditempatkan di bawah pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kata Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kanak-kanak tersebut kini menerima rawatan di hospital akan ditempatkan di pusat jagaan itu sehingga perbicaraan kesnya selesai.
Beliau berkata yang penting sekarang ialah memastikan anak itu terus berada dalam keadaan sihat selepas dibenarkan keluar hospital,” katanya di Alor Setar pada Sabtu (23 Julai).
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak angkatnya menggunakan kayu penyapu kononnya kanak-kanak itu enggan makan.
Sementara itu, Rina mengucapkan terima kasih kepada individu yang melaporkan kejadian tersebut, dan berharap orang ramai sentiasa prihatin dengan kes seumpama itu dan membuat laporan.
Laporan boleh dibuat kepada pihak polis atau menghubungi Talian Kasih (talian bebas tol 15999). Mereka juga membuat aduan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat berhampiran.
-BTS Media