Oleh Yusoff A. Shariff
Sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak dan dua orang dewasa maut selepas kejadian tembakan di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, pada Selasa.
Suspek, seorang pelajar di Uvalde High School, turut maut, kata Gabenor Texas Greg Abbott.
Menurut beliau, penyerang berusia 18 tahun itu “menembak dan membunuh secara mengerikan” sesiapa sahaja di depannya, termasuk seorang guru.
Suspek juga didakwa menembak dan membunuh neneknya sebelum mencerobohi kawasan sekolah dan sekali lagi melepaskan tembakan.
Penyerang dikenal pasti sebagai Salvador Ramos.
Polis telah menemui sepucuk rifle AR-15 dan beberapa magazin peluru, lapor ABC News yang memetik beberapa sumber penguat kuasa undang-undang.
Seluruh Texas kini bergabung, sementara Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dijadualkan berucap kepada seluruh negara berhubung kejadian itu.
Dua pegawai polis turut mengalami kecederaan setelah ditembak oleh penyerang, namun keadaan mereka dilaporkan stabil.
Seramai 15 pelajar yang cedera sedang dirawat di Uvalde Memorial Hospital, sementara dua lagi dipindahkan ke Hospital San Antonio untuk rawatan rapi.
Sebuah lagi hospital menerima seorang mangsa berusia 66 tahun dan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun yang dikatakan berada dalam keadaan kritikal.
Dua lagi mangsa dewasa yang berada dalam keadaan kritikal dihantar ke Pusat Perubatan Tentera Brooke di San Antonio.
Sebahagian besar mangsa terdiri daripada anak pegawai dan agen Pengawal Sempadan dan Kastam Amerika.
-BTS Media