Oleh Zainal AS Rashid
PARLIMEN harus membenarkan perbahasan tentang isu tuntutan waris Sulu ke atas Sabah kerana ia melibatkan kedaulatan Malaysia.
Bekas menteri luar, Anifah Aman berkata usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis untuk membahaskan perkara itu di Parlimen tidak patut disekat.
Beliau merujuk kepada alasan kemungkinan strategi negara didedahkan dalam menangani isu tersebut seperti yang didakwa oleh Speaker Dewan Rakyat Azizan Harun.
Beliau mempersoalkan berapa lama lagi Malaysia harus berdiam diri mengenai perkara itu, memandangkan rakyat dan khususnya negeri Sabah ingin tahu sama ada kedaulatan negara telah dicabuli, dan sama ada kerajaan melakukan apa sahaja untuk mempertahankannya.
Menurut Anifah, kerajaan tidak diminta mendedahkan perkara sulit semasa perbahasan, dan ahli parlimen memang maklum tentang perkara sulit seperti itu.
Beliau berkata adalah menjadi hak ahli parlimen untuk membahaskan isu itu di parlimen kerana mereka mewakili suara rakyat, justeru apa gunanya demokrasi jika soalan asas berhubung kedaulatan negara tidak boleh dibahaskan.
Bagi Anifah, rampasan aset anak syarikat Petronas di Azerbaijan oleh waris kesultanan Sulu adalah perkara membabitkan kepentingan nasional, manakala tuntutan mereka ke atas Sabah pula adalah isu keselamatan, terutama kepada rakyat Sabah.
Rampasan dibuat berdasarkan tuntutan yang tidak diiktiraf oleh Malaysia, dan apa yang berlaku merupakan campur tangan asing.
Anifah bertanya apa lagi waris kesultanan Sulu itu boleh rampas dengan bantuan negara asing, dan sama ada mereka juga boleh merampas Sabah. Jika ini berlaku, apa akan jadi kepada penduduk Sabah?
-BTS Media