MERUJUK kepada keputusan mahkamah mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, ia menunjukkan tiada sesiapa boleh lari daripada kedaulatan undang-undang.
Ia memberi kesan sangat besar, terutama pandangan masyarakat antarabangsa terhadap negara kita, kata Datuk Jasri Jamaluddin.
Ketua BERSATU Bahagian Maran itu berkata hampir semua akhbar menyiarkan berita ini sebagai tajuk utama, terutama media antarabangsa.
Beliau berkata, ini memberi gambaran bahawa sistem kehakiman Malaysia berintegriti tinggi dan telus tanpa sebarang campur tangan politik.
Menurut Jasri, apabila mahkamah mengekalkan sabitan dan Najib terus dibawa ke penjara, maruah negara yang tercalar disebabkan isu SRC International dan skandal 1MDB telah dapat dikembalikan.
Walaupun kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.6 bilion masih berjalan di mahkamah, sekurang-kurangnya dunia melihat Malaysia serius dalam menangani isu berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia juga akan dapat mengembalikan kepercayaan serta keyakinan pelabur asing kepada Malaysia, jelas Jasri kepada BTS Media awal pagi Rabu (24 Ogos).
Dalam pada itu, keputusan ini juga menunjukkan bahawa perjuangan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berani menegur pemimpin negara menyalahgunakan kuasa sewaktu beliau di dalam kerajaan tidak sia-sia.
Beliau berkata, hari ini Muhyiddin berjaya memimpin parti BERSATU yang pada asasnya menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam pemerintahan sebagai wadah perjuangan. Ini dilakukan walaupun terpaksa berkorban melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri demi prinsip.
Tambah Jasri lagi, beliau percaya hari ini adalah permulaan baharu untuk membawa negara ke arah yang lebih baik, membetulkan kerosakan dalam pemerintahan, mengutamakan perkara kebajikan rakyat dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.
Oleh itu, kerajaan sudah pasti boleh membuat perancangan menyeluruh semasa pembentangan bajet 2023 dalam masa terdekat ini, selari dengan Wawasan Kesejahteraan Negara 2030.
“Apa yang telah berlaku kita ambil sebagai pengajaran untuk masa depan yang lebih baik” jelas beliau.
-BTS Media