Oleh Fetty Rara
LEMBAH Klang pagi ini menyaksikan aliran keluar padat apabila penduduk kota bergerak pulang ke kampung halaman untuk merayakan Hari Raya Aidiladha esok (10 Jul).
Jumlah trafik di lebuh raya utama dari ibu kota ke utara, timur dan selatan semenanjung dilaporkan sesak sejak awal lagi.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata peningkatan kenderaan di lebuh raya yang bermula pada kira-kira pukul 6.00 pagi dijangka berlarutan sehingga tengah malam.
Menurutnya, syarikat konsesi lebuh raya itu juga telah menempatkan anggota Jabatan Relawan Malaysia (Rela) dan polis bantuan di plaza tol yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas berlaku kesesakan.
Anggota Rela ditempatkan untuk membantu pengguna tol jika kad mereka mengalami masalah, manakala polis bantuan akan menggunakan motosikal untuk memantau kesesakan lalu lintas di hadapan,” katanya.
Sementara itu, LLM melaporkan aliran trafik perlahan ke arah Pantai Timur sebelum dan selepas Plaza Tol Gombak menghala ke Bukit Tinggi.
Di Lebuhraya Pantai Timur, trafik juga dilaporkan bergerak perlahan sepanjang 5.3 kilometer dari Lancang ke Temerloh.
Keadaan yang sama berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (Lebuhraya PLUS) arah utara dari Sungai Dua ke Plaza Tol Sg Dua dan dari R&R Rawang ke Sungai Buaya.
Di bahagian selatan semenanjung , aliran trafik bergerak perlahan dari Putra Mahkota ke R&R Seremban, Senawang ke Pedas Linggi dan Bukit Gambir ke Pagoh.
Di Lebuhraya ELITE, trafik juga bergerak perlahan dari Bandar Serenia ke Nilai.
Trafik juga dilaporkan bergerak perlahan di Lebuhraya LINKEDUA selepas Tuas, Singapura menuju ke Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.
Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com
-BTS Media