PEMANDU lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor pada Khamis (7 Jul) didapati mempunyai 33 saman pelbagai kesalahan jalan raya.
Warganegara Malaysia berusia 34 tahun itu juga mempunyai enam saman tertunggak, kata ketua polis daerah Johor Bahru Selatan Raub Selamat.
Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu yang direman tiga hari itu didapati negatif.
Lori tersebut merempuh sembilan kereta, sebuah van dan sebuah bas. Enam daripada kenderaan tersebut mempunyai pendaftaran asing.
Polis menahan suspek pada pukul 1.15 tengah hari semalam berikutan nahas yang berlaku  pada 9.25 pagi.
Pemandu itu dibawa ke mahkamah majistret Johor Baru pada pukul 10 pagi hari ini, di mana perintah reman dikeluarkan.
Siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada masalah teknikal. Tiada kecederaan dilaporkan.
-BTS Media