GAMBAR ATAS: Calvin Teo, CC BY-SA 3.0 <http://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0/>, via Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
Keadaan pra-pandemik pekerja Malaysia berasak-asak menyeberangi sempadan Malaysia-Singapura tidak berlaku pada pagi Jumaat (1 April), iaitu hari pertama perjalanan sempadan antara kedua-dua negara disambung semula selepas lebih dua tahun ditutup.
Lorong motosikal di sempadan Malaysia sebahagian besarnya masih lengang dari pukul 5 pagi hingga 7 pagi.
Biasanya beribu-ribu pekerja beratur awal pagi untuk merentasi tambak menghala ke Singapura.
Bas ulang-alik yang membawa penumpang antara kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Johor dan pusat pemeriksaan Singapura turut beroperasi membawa hanya sebilangan kecil penumpang, lapor Asia News Network (ANN).
Sementara itu, kompleks yang biasanya memproses ratusan ribu dokumen perjalanan setiap hari sebelum pandemik Covid-19 mencatatkan jumlah kecil individu.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi pada Rabu berkata minggu pertama pembukaan semula itu dijangka menyaksikan lebih 400,000 orang pengguna.
Untuk Jumaat, Johor menjangkakan kira-kira 42,000 orang melintasi di kedua-dua arah, iaitu kira-kira 10 peratus berbanding tahap pra-pandemik.
Bilangan pengguna dijangka meningkat secara beransur-ansur dari semasa ke semasa, kerana pembukaan semula laluan tambak itu berlaku beberapa hari sebelum bulan puasa Ramadan Ahad ini, dan juga lebih sebulan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Malaysia berada di bawah perintah ‘lockdown’ sepanjang dua sambutan Hari Raya lalu, dan tahun ini akan menyaksikan kembalinya sambutan Hari Raya “biasa” pertama untuk hampir 20 juta umat Islam di negara ini apabila negara berganjak ke pembukaan semula hampir kesemua sekatan Covid-19 bermula hari ini.
-BTS Media