BTS Media

Penipuan Haji di Singapura: Lelaki dipenjara guna rakan guru agama tipu 85 mangsa S$97,000

GAMBAR ATAS: Adli Wahid, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

SEORANG lelaki memperalatkan kawannya, yang merupakan seorang guru agama terkenal untuk menipu 85 orang bagi pakej haji.

Mohd Ramlee Ab Samad,62, memperdaya mangsa supaya menyerahkan pasport dan bayaran hampir S$100,000 (RM316,160) untuk menunaikan haji.

Guru agama tersebut, Fahrorazi Sohoi turut membuat bayaran pendahuluan sebanyak S$40,000 bagi pihak mangsa.

Semalam (Khamis 7 Jul), Ramlee dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan yang dilakukan pada 2018 itu. Dia mengaku bersalah di atas 20 tuduhan menipu, lapor portal berita TODAY.

Fahrorazi Sohoi.

Mahkamah mengambil kira 65 tuduhan lagi sebagai pertimbangan untuk hukuman.

Pada Ogos 2018 Fahrorazi berdepan dengan tuduhan berhubung penipuan itu, dan dilepas tanpa dibebaskan pada tahun berikutnya.

Ini bermakna dia masih boleh didakwa dan dituduh semula sekiranya terdapat bukti-bukti baharu.

Pada 13 Ogos 2018, Ramlee berlepas ke Batam. Dua hari selepas itu beberapa orang yang menjadi mangsa penipuan itu mengesyaki bahawa mereka telah ditipu selepas Fahrorazi memaklumkan bahawa penerbangan mereka ditunda dari 16 Ogos ke 17 Ogos.

Laporan polis kemudian dibuat, dan Ramlee ditangkap pada Oktober setelah pulang dari Batam.

Polis merampas kira-kira S$200,000 wang tunai bersama 85 pasport Singapura daripada peti besi di rumah Fahrorazi dan daripada Ramlee.

-BTS Media

Leave a Comment