SRIKANDI BERSATU di semua negeri diarah melancarkan kutipan derma dalam kalangan ahli bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah baru-baru ini.
Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang membuat arahan itu juga telah melancarkan inisiatif tersebut dalam kalangan Ketua Wanita negeri dan Ahli Jawatankuasa Wanita Perikatan Nasional (PN).
Kutipan dari Srikandi akan disalurkan kepada Srikandi BERSATU Kedah.
Tabung Kebajikan Srikandi yang diwujudkan tahun lepas akan juga digunakan untuk membantu Srikandi yang terkesan banjir di Kedah.
Terdahulu, Ketua Srikandi BERSATU Kedah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Shamsilah Siru telah pun berada di Baling bersama 40 anggota Skuad Sukarelawan Prihatin Srikandi Kedah pada Selasa malam (5 Jul) untuk membantu mangsa banjir.
Mereka membawa bersama bantuan makanan, ubat-ubatan dan perkakas mencuci untuk membersihkan rumah mangsa banjir.
Dalam pada itu, Biro Kebajikan Srikandi Malaysia telah melancarkan gerak kerja untuk membantu di Pusat pemindahan Sementara (PPS) dan sekolah yang terkesan bencana di Baling.
Kejadian banjir dan fenomena lonjakan air yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang Selasa di Baling meragut tiga nyawa dan tiga pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan lebih 1,400 mangsa banjir.
-BTS Media