GAMBAR ATAS: flydime, CC BY 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/3.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
TAPAK arkeologi Angkor di Kemboja memperoleh lebih AS$2.4 juta (RM10 juta) daripada jualan tiket pada separuh pertama 2022, justeru mencatatkan peningkatan lebih 1,000 peratus tahun ke tahun, lapor Angkor Enterprise.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 1 Julai, agensi kerajaan yang menguruskan penjualan tiket untuk pelawat antarabangsa ke tapak UNESCO seluas 400km persegi itu, sejumlah 59,983 tiket – untuk semua kawasan – telah dijual pada harga AS$2,420,081 (kira-kira RM10 juta) pada Januari-Jun, iaitu peningkatan lebih 1,000 peratus tahun ke tahun.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,066 tiket berharga AS$15 (RM66.13) tiap satu dibeli untuk lawatan ke kawasan kuil Koh Ker.
Menurut laman web Angkor Enterprise, harga tiket satu hari, tiga hari dan tujuh hari untuk bahagian utama – termasuk Angkor Wat – kini dijual pada harga AS$37 (RM163.13), AS$62 (RM273.36), dan AS$72 (RM317.45). Warga tidak kenakan sebarang bayaran untuk masuk ke kompleks sejarah dunia itu.
Bilangan pelawat ke Angkor dan tarikan lain di wilayah Siem Reap telah meningkat dengan ketara sejak kerajaan membatalkan peraturan keluar masuk Covid-19 ke Kemboja.
Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kebangsaan Apsara (ANA) Long Kosal memberitahu akhbar Kemboja The Post bahawa walaupun masih di bawah paras pra-Covid, peningkatan hasil pelancongan ke zon pelancongan utama merupakan “petanda baik” berikutan penutupan selama lebih dua tahun sebelum ini.
Ini, katanya, juga menggambarkan bahawa taman sejarah Angkor masih mempunyai potensi untuk menarik pelawat tempatan dan luar negara.
-BTS Media