BTS Media

Sampai luka tangan gara-gara berebut beli tiket wayang pada hari raya

,Small>GAMBAR ATAS: Panggung Cathay Teluk Anson/ sumber: Facebook Teluk Intan Heritage Trail.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

“ESOK tepat pukul 8.30 pagi berkumpul di kedai Sungai Haji Mohamad!” Itu ingatan Jaafar, ketua rombongan ‘Santai Raya’ kepada penulis dan beberapa kawan lain sebaik selesai solat sunat Aidilfitri di surau Kampung Parit Serong, Bagan Datuk, Perak.

Rombongan ‘Santai Raya’ mengandungi antara lapan hingga 10 orang rakan sebaya penulis untuk berlibur ke bandar Teluk Anson (Teluk Intan), sambil menonton wayang. Ini biasa dilakukan pada hari raya kedua.

Teluk Anson, ibu daerah Hilir Perak dan bandar ketiga terbesar di Perak selepas Ipoh dan Taiping, jadi tumpuan pada hari raya. Hanya di sini ada panggung wayang Rex dan Capitol milik Shaw Brother’s dan Cathay milik  Cathay Organisation. Penduduk pekan Bidor dan Kampar pun turun ke Teluk Anson untuk menonton wayang.

Kerana kebanyakan anggota kumpulan ‘Santai Raya’ adalah kanak-kanak sekolah rendah pada tahun 60-an itu, perlu ada seorang yang lebih dewasa untuk menjadi ketua. Jaafar ialah pelajar sekolah menengah.

Untuk ke kedai di Sungai Haji Mohamad, penulis yang tinggal di Kampung Tebuk Mukmin perlu melalui Kampung Parit Serong untuk keluar ke pekan. Ramai ahli rombongan dari kampung ini.

Pada penghujung kampung bahagian paling darat, Parit Serong bertemu Kampung Sungai Haji Mohamad. Kedua-dua kampung ini dipisahkan oleh parit, dihubungkan oleh titi papan.

Lebih kurang 100 meter daripada titik pertemuan dua kampung inilah terletaknya deretan kedai Sungai Haji Mohamad, tempat penduduk Tebuk Mukmin, Parit Serong dan Sungai Haji Mohamad membeli barang keperluan seharian. Ini termasuk barang basah, seperti ikan dan sayur.

Dalam 30 meter dari deretan kedai ini terletak jalan utama menghubungkan Bagan Datuk, pekan mati di tebing Sungai Perak, dengan Teluk Anson. Jaraknya lebih kurang 30 batu (48 kilometer). Dari Sungai Haji Mohamad ke Teluk Anson lebih kurang 24 batu (39 kilometer).

Panggung Rex Teluk Anson suatu ketika dahulu.

Di tepi jalan inilah kami menunggu bas untuk ke Teluk Anson. Perkhidmatan bas Lower Perak Motor Services (LPMS) ini, juga akan singgah di pekan Hutan Melintang, di tebing Sungai Bernam yang memisahkan Perak dengan Selangor.

Jaafar mengingatkan agar sampai di kedai tepat pukul 8.30 pagi untuk memastikan kami mudah dapat. Bas LPMS adalah pengangkutan awam utama. Pada musim hari raya ia sentiasa penuh dari awal pagi hingga ke malam.

Jika lambat, bas dari Bagan Datuk ke Teluk Anson selalunya penuh dan tidak akan berhenti di Sungai Haji Mohamad. Kadang kala beberapa bas sudah berlalu masih belum dapat naik.

Kerana kami sampai awal, tidak terlalu sukar dapat bas. Cuma jika bas penuh, terpaksalah berdiri. Jika ada penumpang yang turun dalam perjalanan, ada peluang duduk. Jika tidak, berdiri sampai destinasi. Tambang pergi balik (return ticket) ketika itu ialah RM1.20 sen.

Panggung Rex biasanya menayangkan filem Melayu. Antara yang penulis masih ingat pernah ditayang ialah ‘Enam Jahanam’ dan ‘Putus Sudah Kasih Sayang’ arahan P. Ramlee. Panggung Capitol pula menayangkan cerita Hindustan.

Antara filem Melayu di panggung Cathay pula filem Lakonan Mat Sentul seperti ‘Mat Bond’ dan ‘Mat Karung Guni’. Jika tiada filem Melayu, Cathay tayangkan filem Hindustan. Bisanya kami cuba menonton dua buah filem, satu tengahari dan satu petang menurut kesesuaian masa.

Membeli tiket sangat mencabar, sehingga boleh bergaduh dan bertumbuk

Membeli tiket sangat mencabar, sehingga boleh bergaduh dan bertumbuk. Puncanya kerana tidak berdisiplin dan tidak mahu berbaris. Sebaliknya kekuatan tenaga jadi ukuran.

Masing-masing mahu melonjakkan diri ke hadapan kaunter tiket. Kaunter ini ‘dipagari’ dawai kukuh berlubang-lubang kecil. Hanya satu lubang, besar sedikit daripada ukuran lengan, disediakan untuk membeli tiket. Maknanya seorang lepas seorang.

Duit siap digenggam dalam tangan. Jika tangan berjaya menerjah lubang, beritahu penjual tiket berapa tiket diperlukan dan kelas apa. Bagi kumpulan penulis, tugas ini dilakukan oleh Jaafar. Kasihan melihat dia beradu lengan dengan orang lain. Malah ada yang tangan melecet atau lengan luka berdarah.

Yang kuat dan ganas lebih berpeluang menerjah tangan. Mereka biasanya ialah sindiket ulat tiket. Mereka membeli banyak tiket dan kemudian menjual di pasaran gelap mencari mangsa yang belum ada tiket.

Seingat penulis ketika itu harga tiket di panggung Rex ialah 60 sen, 80 sen dan RM1.00 masing-masing untuk kelas tiga, dua dan satu. Bagi kelas khas atau reserved di tingkat atas, harganya RM1.40. Ulat tiket akan menjual sehingga sekali ganda atau lebih.

Sibuk bersantai dan menonton wayang, perut juga perlu diisi. Gerai ‘nasi lambai’ sedia menanti. Gerai yang terletak di tepi Sungai Perak ini memang menjadi pilihan ramai kerana sedap dan murah.

Nama ‘nasi lambai’ kerana para pekerja akan berdiri di hadapan gerai melambai semua yang lalu lalang. “Mari Mat Mari!”, mereka berteriak menarik pelanggan. Semua dipanggil Mat. Macam penulis ini, memang kena betul panggilan nama itu!

Nasi dengan seketul ikan bawal, kuah, dua tiga hiris mentimun serta secolek sambal, hanya lima kupang (50 sen). Kalau lauk ayam atau daging, harganya lapan kupang (80 sen). Air kosong percuma, air sirap sekupang (10 sen).

Jam tinggi yang menjadi tarikan utama pelancong di Teluk Anson memang sentiasa menjadi tumpuan. Pada hari raya, ia mesti dikunjungi untuk mengambil gambar kenangan bersama rakan-rakan.

Selalunya penulis dan kawan-kawan bersantai sehingga petang. Apabila badan sudah letih bersedialah untuk pulang agar tidak terlalu malam baharu sampai rumah.

Lebih enam dekad sudah berlalu. Jaafar, ketua rombongan, sudah lama pergi. Juga ada kawan-kawan ahli rombongan yang sudah terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi.

Khidmat bas LPMS juga sudah tiada kerana kini sudah ramai mampu membeli kereta dan motor.   Panggung Rex sudah jadi cineplex. Panggung Cathay jadi My Cinema. Panggung Capitol sudah bertukar jadi bangunan kedai tiga tingkat.

Nama Teluk Anson yang diberi pada 1882, sempena nama pegawai daerah Hilir Perak, Archibald Anson, bertukar kepada Teluk Intan pada 1982. Setelah satu abad ia kembali kepada nama asal Teluk Mak Intan, cuma perkataan ‘Mak’ digugur.

Segala kenangan manis sudah berlalu. Namun ia akan tetap menerjah memori penulis setiap kali menjelang Aidilfitri. Al-Fatihah untuk Jaafar dan rakan-rakan rombongan yang sudah pergi tidak kembali.

-BTS Media

Leave a Comment