BTS Media

Menteri Pelancongan Sarawak kecam Hadi kerana pemikiran cetek

 

Oleh Zainal AS Rashid

KENYATAAN presiden PAS Abdul Hadi Awang dianggap cetek dan tidak masuk akal apabila menyamakan mereka yang menyokong penguasaan bahasa Inggeris sebagai mempunyai pemikiran penjajah, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bagi beliau penguasaan sebanyak mungkin bahasa adalah penting untuk komunikasi yang lebih baik dengan seluruh dunia.

Beliau berkata ini juga akan membolehkan umat Islam menimba ilmu sebanyak mungkin, seperti yang dianjurkan oleh Islam.

“Bahasa Arab bukan bahasa rantau kita. Adakah belajar bahasa Arab bermakna kita mempunyai pemikiran penjajah? Tidak. Begitu juga, pandai berbahasa Inggeris tidak bermakna seseorang itu mempunyai pemikiran penjajah,” katanya pada Isnin (4 Julai).

Abdul Karim berkata, malang bagi PAS mempunyai pemimpin yang cetek pemikirannya.

Jangan jadi katak di bawah tempurung kelapa,” katanya lagi sambil merujuk kepada peribahasa Melayu itu bagi menggambarkan seorang yang keji dan jahil.

Abdul Karim berkata komen pemimpin PAS itu mengenai bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang menghairankan, kerana sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan yang menghina masyarakat Dayak Sarawak.

Pada 2009, Abdul Hadi didakwa berkata kekalahan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Batang Ai adalah kerana “cawat” dipakai oleh orang rakyat Sarawak yang “tidak tahu mengundi”.

Abdul Hadi dalam satu kenyataan pada Ahad (3 Julai) berkata rakyat Malaysia yang lebih suka berbahasa Inggeris masih terperangkap dalam pemikiran penjajah.

Beliau juga mengkritik rakyat Malaysia yang mempeleceh Bahasa Malaysia dengan mengatakan mereka “terperangkap oleh bekas penjajah yang sebelum ini memperhambakan mereka”.

-BTS Media

Leave a Comment