BTS Media

NGO Sarawak buat laporan polis terhadap Hadi berhubung kenyataan berbaur perkauman mengenai rasuah

GAMBAR ATAS: Borneo Post.

 

Oleh Fetty Rara

BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuching telah membuat laporan terhadap presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di balai polis Kota Sentosa pada Sabtu (27 Ogos).

Laporan itu bertujuan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Abdul Hadi kerana mengatakan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca rasuah di negara ini.

Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat (Sapa) Sarawak Dominique Ng mengetuai pertubuhan bukan kerajaan lain Dayak Bukit Kelinkang (DBK), Persatuan Asal Orang Asal Bidoyoh Sarawak, Persatuan Dayak Sarawak (Pedas) dan Persatuan SMETAP membuat laporan itu.

Ketika ditemui di luar balai polis, Ng mendedahkan bahawa lebih 10 laporan polis telah dibuat terhadap Abdul Hadi kerana kenyataan menghinanya, lapor Borneo Post.

Beliau berkata, mereka mahu kerajaan negeri mengisytiharkan Hadi sebagai ‘persona non grata’ dan melarang beliau daripada menjejakkan kaki ke Sarawak.

Menurut Ng, desakan larangan itu adalah untuk melindungi kebebasan beragama di Sarawak dan mengelakkan masyarakat berbilang budaya dan kaum di negeri itu daripada diracuni oleh individu seperti Abdul Hadi.

Tambahnya, mereka juga sedang mempertimbangkan petisyen untuk mengharamkan Abdul Hadi seperti yang dikemukakan oleh ahli majlis tertinggi Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Ben Diomedes.

-BTS Media

Leave a Comment