BTS Media

Betul-betul durian runtuh di Singapura kali ini

 

Oleh Zainal AS Rashid

WALAUPUN pada awal bulan ini dilaporkan berita ‘sedih” bahawa harga durian akan melonjak tinggi di Singapura, namun sejak dua minggu lalu keadaan sebaliknya yang berlaku.

Musim sekarang yang biasanya dari Mei hingga Ogos menyaksikan hasil terbesar durian dari Johor dan Pahang ke republik itu.

Walaupun harga durian gred tinggi seperti Musing King seberat 1.5 hingga 2kg setiap satu kekal stabil pada kira-kira S$20(RM63) hingga S$25 (RM79) sekilogram, namun kebanyakan gerai lebih mempromosikan jenis kecil, termasuk D24 dan Musang King pada harga kurang daripada S$10 (RM31) sebiji.

Sesetengah penjual berasa hairan apa yang menyebabkan laporan awal mengatakan harga durian akan melonjak sebelum ini.

Bagaimana pun, murah bagi pembeli tapi keadaan tidak menyenangkan bagi sesetengah penjual yang mengharapkan harga tinggi untuk meraih keuntungan lebih.

Ada yang menyifatkan harga rendah sekarang ini hanya sementara, dan mengunjurkan harga ‘normal’ (mahal) dalam seminggu dua lagi.

Seorang peniaga berkata dia memang sudah menjangka bahawa hasil tahun ini baik kerana pokok lebat berbunga. Dia berkata kecuali durian Musang King Gred A, harga durian lain, termasuk Udang Merah dan D24 jatuh kira-kira 30%.

Menurutnya, pada 2015 berlaku kekurangan bekalan durian di Johor dan pekebun membuka banyak kawasan untuk menanam pokok durian.

Pokok durian mula berbuah selepas tujuh tahun, dan hasil kali ini merupakan yang pertama, tetapi buahnya lebih kecil dan kualiti tidak berapa elok.

Dia menjelaskan bahawa walaupun kualiti setanding dengan buah yang lebih besar, ia masih tidak murah.

Durian Musang King 1kg yang berharga S$12 mungkin hanya mengandungi tiga ulas, iaitu S$4 satu. Tetapi, buah Gred A berharga S$24mungkin mempunyai 10 ulas, dan bermakna harganya hanya S$2.40.

Durian digredkan mengikut saiz dan kualiti. Gred A yang paling besar beratnya antara 1.5kg hingga 2kg.

Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa harga murah amat menarik kepada pelanggan, kerana ia menawarkan pilihan.

Begitu laris jualan di Singapura, hingga menjelang pukul 5.00 petang Sabtu lepas, hanya kira-kira 10 raga masih berbaki daripada stok penghantaran 50 raga dari Malaysia pada hari itu. Setiap raga memuatkan 50kg durian.

-BTS Media

Leave a Comment